Selasa, 2 April 2013

Majlis Pemimpin Bersama Rakyat-RH Bajai



KAPIT: Sambutan menggalakkan dari Tuai Rumah Balleh tengah semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas(JASA) yang diadakan di Rumah Bajai, Nanga Kain, Balleh.
Majlis yang dihadiri oleh masyarakat sekitar Balleh tengah di sempurnakan oleh, Encik Wilson Nyabong Ijang, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak. Turut hadir, Encik Wilson Ugak Kumbong, Setiausaha Sulit kepada Menteri Tanah Sarawak yang juga merupakan calon PRS P.216 Hulu Rajang.
Dalam majlis tersebut, Encik Wilson Nyabong Ijang, telah menyeru masyarakat Balleh tengah khasnya dan kawasan Parlimen Hulu Rajang supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak pembangkang yang sentiasa mencari isu sensitif memutar belit fikiran rakyat bagi meraih undi. Beliau juga mengingatkan masyarakat setempat agar sentiasa menyokong Barisan Nasional bagi merialisasikan segala pembangunan yang telah dijanjikan oleh kerajaan yang sedia ada. Ini termasuk pembinaan Jambatan Batang Balleh yang sedang rancak dibina juga termasuk lebih dari 20 menara telekomunikasi yang akan di bina di kawasan Balleh. Di samping itu juga, beliau telah mengumumkan projek MRP bagi rumah panjang di kawasan berkenaan. Dalam majlis yang sama, beliau juga telah menyerahkan bendera parti(Barisan Nasional) kepada Tuai rumah dan juga wakil Tuai Rumah yang hadir.

Selain itu juga, tuai-tuai rumah diberi kesempatan untuk meluahkan apa saja masalah yang dihadapi oleh penghuni rumah panjang masing-masing.
Tidak di tinggal juga, soalan berhubung calon PRS Hulu Rajang yang sering mengelirukan masyarakat setempat bukan sahaja di Balleh malah di Belaga. Bagi menjawab soalan tersebut, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Encik Wilson Nyabong Ijang tampil menjelaskan kepada semua yang hadir.
“Hanya seorang calon sahaja yang dipilih oleh presiden parti dan calon tersebut juga telah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi parti. Nama calon telah dihantar kepada Perdana Menteri dan hanya menunggu pengumuman dan keputusan terakhir yang akan dibuat oleh Perdana Menteri sendiri.” katanya.
Beliau juga menambah, “ Calon PRS Hulu Rajang yang telah dipilih ialah Setiausaha Politik kepada presiden parti kita sendiri iaitu Encik Wilson Ugak Kumbong dan beliau sedang bersama-sama kita sekarang. Cuma yang masih mengelirukan masyarakat ialah keputusan muktamad belum diumumkan dan kita harus tunggu sehingga pembubaran parlimen.”
Semua yang hadir menyatakan sokongan padu kepada Encik Wilson ugak Kumbong bagi mewakili rakyat parlimen Hulu Rajang.

Tuai Rumah Anding yang diberi kesempatan berucap semasa majlis tersebut menyatakan, “Lima penggal yang lalu, kita di Balleh telah memberi sokongan padu kepada YB Datuk Billy Abit Joo wakil rakyat parlimen Hulu Rajang. Sekarang, calon yang di pilih oleh parti adalah orang Balleh sendiri. Oleh yang demikian, kita hendaklah menyokong beliau lebih kuat lagi seperti rakyat di Belaga yang menyokong penuh Datuk Billy. Jangan terpengaruh dengan hasutan pihak pembangkan yang sentiasa mengelirukan rakyat dengan janji-janji manis. Ada yang menganggap diri mereka mesra BN. Jika mesra BN mengapa nak lawan komponen parti dalam BN?”.
Wilson Ugak Kumbong yang diberi kesempatan berucap telah berjanji akan membawa banyak lagi pembangunan kepada masyarakat di Hulu Rajang.
Walaupun beliau dikatakan muka baru, namun pengalaman selama lebih 20 tahun sebagai penggerak jentera pilihanraya bagi P.216 dan juga N.56 Balleh sudah membuktikan bahawa pilihan pucuk pimpinan parti adalah tepat.

Isnin, 1 April 2013

Larry Guna Kelebihan Kaum Dayak Untuk Kepentingan Dirinya


LUBOK ANTU: Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak mendakwa tujuan Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng bertanding di Parlimen Lubok Antu hanya menggunakan kelebihan kaum Dayak terutama Iban untuk kepentingan dirinya.
“Tujuan Larry yang berasal dari Kapit itu memilih Parlimen Lubok Antu sebagai kawasan untuk bertanding kerana dia (Larry) fikir hanya orang Lubok Antu yang belum ‘dipergunakannya’ untuk mendapat kepentingan politiknya.
“Lantaran itu, buat apa untuk memberi sokongan kepada anak Datuk Sng Chee Hua, maka kita semua harus tewaskannya nanti,” katanya pada Mesyuarat Persediaan Jentera Pilihan Raya DUN Batang Ai bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)  di Dewan Mengiling, Syarikat SESCo Berhad Batang Ai semalam.
Sebanyak 24 Pusat Daerah Mengundi DUN Batang Ai daripada empat parti komponen BN Lubok Antu yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyertai mesyuarat berkenaan.
Sementara itu, Nyalau mendakwa SWP menabur pelbagai janji manis kepada rakyat Lubok Antu sebagai umpan supaya memberi sokongan kepada parti itu pada PRU13 nanti.
“Justeru, saya menasihati anda semua agar jangan mudah termakan janji manis SWP itu kerana orang bukan anak jati Lubok Antu tidak bersungguh-sungguh untuk membela nasib rakyat Lubok Antu,” katanya.
Nyalau berkata, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sentiasa menjenguk rakyat terutama penduduk yang tinggal di pedalaman bukan seperti pembangkang yang hanya akan hadir apabila menjelang pilihan raya.
“Kami (BN) sebelum, semasa atau sesudah pilihan raya akan sentiasa bersama rakyat tidak seperti parti pembangkang mahupun bebas yang akan nampak batang hidung apabila tiba pilihan raya sahaja,” ujarnya.
Sementara itu katanya, gelombang pembangunan yang pesat di negeri ini bukan sahaja turut dinikmati oleh rakyat di bandar malah menular ke luar bandar terutama yang tinggal di hulu sungai.
Beliau berkata atas dasar yang sistematik dan kebijaksanaan kerajaan BN mentadbir negeri ini maka hari ini kita menyaksikan banyak pembangunan dilaksanakan termasuk di kawasan pedalaman.