Isnin, 1 April 2013

Larry Guna Kelebihan Kaum Dayak Untuk Kepentingan Dirinya


LUBOK ANTU: Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak mendakwa tujuan Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng bertanding di Parlimen Lubok Antu hanya menggunakan kelebihan kaum Dayak terutama Iban untuk kepentingan dirinya.
“Tujuan Larry yang berasal dari Kapit itu memilih Parlimen Lubok Antu sebagai kawasan untuk bertanding kerana dia (Larry) fikir hanya orang Lubok Antu yang belum ‘dipergunakannya’ untuk mendapat kepentingan politiknya.
“Lantaran itu, buat apa untuk memberi sokongan kepada anak Datuk Sng Chee Hua, maka kita semua harus tewaskannya nanti,” katanya pada Mesyuarat Persediaan Jentera Pilihan Raya DUN Batang Ai bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)  di Dewan Mengiling, Syarikat SESCo Berhad Batang Ai semalam.
Sebanyak 24 Pusat Daerah Mengundi DUN Batang Ai daripada empat parti komponen BN Lubok Antu yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyertai mesyuarat berkenaan.
Sementara itu, Nyalau mendakwa SWP menabur pelbagai janji manis kepada rakyat Lubok Antu sebagai umpan supaya memberi sokongan kepada parti itu pada PRU13 nanti.
“Justeru, saya menasihati anda semua agar jangan mudah termakan janji manis SWP itu kerana orang bukan anak jati Lubok Antu tidak bersungguh-sungguh untuk membela nasib rakyat Lubok Antu,” katanya.
Nyalau berkata, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sentiasa menjenguk rakyat terutama penduduk yang tinggal di pedalaman bukan seperti pembangkang yang hanya akan hadir apabila menjelang pilihan raya.
“Kami (BN) sebelum, semasa atau sesudah pilihan raya akan sentiasa bersama rakyat tidak seperti parti pembangkang mahupun bebas yang akan nampak batang hidung apabila tiba pilihan raya sahaja,” ujarnya.
Sementara itu katanya, gelombang pembangunan yang pesat di negeri ini bukan sahaja turut dinikmati oleh rakyat di bandar malah menular ke luar bandar terutama yang tinggal di hulu sungai.
Beliau berkata atas dasar yang sistematik dan kebijaksanaan kerajaan BN mentadbir negeri ini maka hari ini kita menyaksikan banyak pembangunan dilaksanakan termasuk di kawasan pedalaman.